Saturday 11 June 2011

NOVEL SUKAR MEMBAWA TUAH

TEMA

- Novel Sukar Membawa Tuah bertemakan kegigihan seorang remaja masyarakat Orang Asli menghadapi cabaran ketika menuntut ilmu.
- Adit merupakan kaum Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman yang terpencil.
Namun demikian, Adit mempunyai impian untuk bersekolah kerana dia menyedari peri pentingnya ilmu dalam mengubah nasib keluarganya.
- Dalam usaha untuk menimba ilmu, pelbagai rintangan dan dugaan ditempuhnya. Pada mulanya Adit tidak dapat tinggal di asrama dan terpaksa berulang-alik selama 4 jam sehari. Perjalanan yang jauh meletihkan dirinya. Namun, Adit tetap ingin bersekolah di pekan.
- Berkat kesabaran dan ketabahannya, Adit berjaya mendapat 3A dalam UPSR dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di bandar.
- Namun, Adit menolak tawaran itu kerana memikirkan keadaan ibu bapanya. Baginya, bersekolah di mana-mana pun sama sahaja asalkan ada kemahuan, pasti akan mencapai kejayaan.

PERSOALAN

a) Kesedaran tentang pentingnya ilmu untuk mengubah nasib keluarga
- Di sebalik ketaatan membantu keluarga, Adit berhasrat untuk belajar kerana dia menyedari peri pentingnya ilmu dalam kehidupan sekali gus mengubah nasib keluarganya yang miskin dan ketinggalan daripada arus kemajuan.

b) Harapan tinggi ibu bapa terhadap anak
- Pak Katan menaruh harapan yang tinggi terhadap Adit agar Adit berjaya dalam pelajarannya. Akhirnya, Adit berjaya membuktikan kemampuannya kepada ibu bapanya apabila dia memperoleh 3A dalam UPSR.

c) Ketaatan seorang anak terhadap bapanya
- Adit taat terhadap bapanya yang mengajarnya selok-belok di hutan. Adit patuh juga akan arahan bapanya yang merupakan rutinnya setiap kali ke hutan.

d) Keprihatinan seorang bapa terhadap impian anaknya
- Pak Katan prihatin terhadap kemahuan Adit yang ingin bersekolah. Dia sanggup ke pekan yang jauh jaraknya dari rumah untuk mendaftarkan persekolahan anaknya.

e) Kemunduran hidup masyarakat Orang Asli yang hidup di kawasan pedalaman
- Masyarakat Orang Asli hidup miskin dan mundur di kaki Bukut Lokan. Rumah mereka diperbuat daripada bahan-bahan yang diperoleh dari hutan yang berdekatan. Mereka menggunakan pelita kuing untuk menerangi kegelapan. Sungai pula merupakan sumber bekalan air yang utama.

f) Kemurnian hati seorang individu untuk membantu orang lain
- Walaupun berbeza latar keturunan dan bangsa, Ah Tong iaitu seorang taukeh berbangsa Cina banyak menolong Adit dan Pak Katan demi memastikan Adit dapat bersekolah.

g) Kepatuhan masyarakat kampung terhadap ketua
- Penduduk Orang Asli patuh akan arahan Tok Batin yang mengarahkan mereka agar mencari Adit yang masih tidak pulang dari sekolah walaupun hari telah malam.

h) Semangat kekitaan dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat
- Guru-guru di sekolah Adit berusaha untuk membantunya agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
- Sewaktu kehilangan Adit pula, pekerja-pekerja balak bekerjasama dengan penduduk Orang Asli untuk mencarinya.
- Kesanggupan Ah Tong dan pekerjanya untuk membawa Adit berulang-alik ke sekolah di pekan menunjukkan wujudnya semangat kekitaan.

WATAK DAN PERWATAKAN


ADIT (WATAK UTAMA)

- berumur 10 tahun
- anak sulung kepada Pak Katan dan Mak Tawi
- tubuhnya hitam dan kurus kering

PERWATAKAN ADIT
i) rajin dan taat membantu ayahnya
- rajin membantu ayahnya melakukan kerja-kerja seperti mencari damar dan rotan serta memasang belat dan mengangkat belat

ii) gigih menuntut ilmu
- Adit sanggup berulang-alik ke sekolah walaupun terpaksa bangun pada awal pagi dan pulang pada waktu petang.

iii) berpandangan jauh/berwawasan/bercita-cita tinggi
- mahu menjadi insan yang berilmu dan berjaya agar dapat membantu keluarganya
- menyedari ilmu penting untuk nasib masyarakat

iv) sangat menghormati orang lain
- dapat dilihat melalui tutur katanya yang lembut
- mengucapkan terima kasih kepada Pak Atan, iaitu pemandu lori balak yang ditumpanginya sewaktu pulang dari sekolah

v) tabah menghadapi cabaran
- tabah menghadapi dugaan meskipun terpaksa menempuh perjalanan selama 4 jam untuk pergi dan balik dari sekolah

vi) remaja yang pintar
- berjaya memperoleh 3A dalam UPSR sebagai hasil usaha gigihnya

AH TONG
- taukeh berbangsa Cina
- bekerja sebagai penyelia pekerja balak
- berperut buncit
- meninggal dunia dalam suatu kemalangan, iaitu apabila jipnya terbabas ke dalam gaung

PERWATAKAN AH TONG

I) prihatin dan bersimpati terhadap orang lain
- begitu prihatin dan peka dengan keadaan yang dihadapi oleh Adit dan Pak Katan
- mengambil berat tentang masalah persekolahan Adit dan mengemukakan cadangan untuk membantunya menyelesaikan masalah pengangkutan.

ii) baik hati/sedia membantu orang lain
- menumpangkan Adit ke sekolah pada waktu subuh dalam perjalanannya ke pekan untuk mengisi minyak
- mengambil Pak Katan bekerja sebagai pembantu pembalak

iii) menghormati orang lain
- percakapannya dapat menggambarkan bahawa seorang yang menghormati orang lain


WATAK DAN PERWATAKAN PAK KATAN
- Orang Asli berketurunan Jahut
- tinggal di Kampung Bakai di kaki Bukit Lokan
- bapa Adit dan suami Mak Tawi
- mempunyai tujuh orang anak, termasuklah Adit
- walaupun sudah lanjut usia, tetapi tenaganya masih kuat
- bekerja sebagai pemungut damar dan rotan sejak usianya sebaya dengan Adit
dan pekerjaan tradisi ini telah diwarisi sejak turun-temurun
- kemudian bekerja sebagai pembantu pembalak

PERWATAKAN PAK KATAN
i) rajin dan bertanggungjawab
- Pak Katan bekerja sebagai pemungut damar dan rotan untuk menyara hidup sekeluarga

ii) hidup dalam keadaan serba kekurangan
- Pak Katan sangat miskin. Hasil hutan yang diperolehnya itu hanya cukup untuk membeli beras dan keperluan harian yang lain.

iii) prihatin terhadap kehendak anaknya/ berfikiran terbuka
- berusaha mencari jalan untuk memenuhi kehendak anaknya yang ingin bersekolah
- kasihan melihat anaknya yang tidak dapat belajar
- mendaftarkan persekolahan anaknya di pekan

iv) seorang yang penyayang/pengasih
- bersusah payah mencari Adit yang masih tidak pulang dari sekolah walaupun hari telah malam
- menjaga makan minum dan keselamatan isteri dan anak-anak


TOK BATIN AHBOI
- ketua komuniti masyarakat Orang Asli
- berusia 75 tahun, isterinya bernama Mak Ca
- lelaki paling tua di Kampung Bakai dan mempunyai pengalaman hidup yang luas

PERWATAKAN TOK BATIN AHBOI
i) ketua yang berwibawa dan disegani
- setiap pandangan dan nasihatnya diterima dan dipatuhi oleh para penduduk
- sangat dihormati dan menjadi tempat orang-orang kampung mengadu hal dan memohon bantuan
- arahannya untuk mencari Adit yang hilang ketika pulang dari sekolah
dipatuhi oleh anak-anak buahnya
ii) prihatin terhadap kebajikan anak-anak buahnya
- Walaupun hidup serba kekurangan, Tok Batin tetap memberikan bantuan kepada keluarga Pak Katan sepanjang Pak Katan dan Mak Tawi berada di hospital kerana menjaga Adit


NOVEL SUKAR MEMBAWA TUAH
LATAR

LATAR MASA

i) Waktu pagi
- dikaitkan dengan peristiwa Adit memulakan persekolahan di pekan
- Adit terpaksa bangun pada jam empat pagi untuk mandi dan bersiap sedia ke sekolah
- Mak Tawi dan Pak Katan turut bangun awal untuk menyediakan persiapan Adit ke sekolah
- Mak Tawi menanak nasi untuk bekalan Adit manakala Pak Katan menemani Adit mandi di sungai

ii) Waktu siang
- Setiap hari, masyarakat Orang Asli berketurunan Jahut yang tinggal di Kampung Bakai mencari rezeki di hutan dan sungai
- Pak Katan akan memberikan makanan kepada beberapa ekor haiwan peliharaannya manakala Adit akan ke sungai untuk melihat belat yang dipasang untuk menangkap ikan.
- Pak Katan dan anaknya, Adit pergi ke hutan untuk mencari hasil hutan seperti damar dan rotan
- Peristiwa pertemuan Adit dengan Tijah semasa memberitahu masalahnya untuk bersekolah dan semasa dia menyatakan bahawa dia akan memulakan persekolahannya di pekan.

Iii) Waktu petang
- Adit pulang ke rumah menjelang petang dengan hasil tangkapannya yang tidak begitu banyak. Semua ikan tersebut diserahkan kepada ibunya untuk memasak.
- Mak Tawi akan menunggu Adit pulang dari sekolah pada setiap petang.
- Pada masa itu juga, Pak Katan sudah pulang dari pekan dan sedang berehat di atas pangkin di hadapan rumah.

iv) Waktu malam
- Pada waktu malam semasa hujan turun dengan lebatnya, Adit membantu ayahnya mengambil guni lalu membelahnya untuk menutup lubang dinding supaya mereka tidak terkena tempias air hujan.
- Selepas makan pada waktu malam yang lain, Pak Katan berbual-bual dengan anaknya, Adit dan menasihatinya supaya pandai menjaga diri semasa berada di sekolah.


LATAR TEMPAT

Kampung Bakai
- terletak di kaki Bukit Lokan dan jauhnya 30 kilometer dari pekan yang terdekat
- merupakan tempat tinggal 25 buah keluarga termasuklah Adit dan keluarganya
- tiada sebarang kemajuan dan kemodenan yang dapat ditemukan di kampung terpencil
ini

Hutan Bukit Lokan
- medan utama bagi Pak Katan dan Adit serta penduduk kampung mencari rezeki untuk menyara hidup sekeluarga
- banyak terdapat rotan, damar, kayu gaharu, tumbuh-tumbuhan herba, dan binatang buruan
- ada kalanya mereka terpaksa masuk ke tengah hutan untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak kerana hasil di kawasan pinggir hutan semakin sedikit kesan daripada kegiatan pembalakan
- tempat bagi Ah Tong dan pekerja-pekerja yang lain melakukan pembalakan

Rumah Pak Katan
-tempat tinggal bagi Pak Katan, Mak Tawi dan tujuh orang anaknya, termasuklah Adit
- Pak Katan meminta Adit mengambil guni yang terselit di pelantar rumah untuk
menutup dinding dan ruang terbuka supaya tidak terkena tempias hujan
-Di bawah rumah juga, Pak Katan menemukan seekor rusa dara yang patah kakinya

Di sungai di tepi rumah Pak Katan
-sumber bekalan air utama bagi penduduk Orang Asli
- Adit memasang belatnya untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan
-Adit meluahkan perasaannya tentang keinginannya untuk bersekolah tetapi terpaksa
ditangguhkan kerana tiada kekosongan di asrama di sekolah tersebut

Sekolah
-Sekolah ini terletak di pekan yang jauh dari kampung Adit
- Adit belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapat 3A dalam UPSR
- tempat Adit berkenalan dengan Pak Kassim, pengawal keselamatan di sekolah
-Adit bertemu dengan Akeh, sahabat baiknya yang bersekolah

Rumah Tok Batin
-Adit bergegas ke rumah Tok Batin untuk menemui Tijah dan memberitahunya bahawa
dia akan mula bersekolah
-tempat penduduk Orang Asli berkumpul setelah diarahkan oleh Tok Batin untuk
mencari Adit yang hilang ketika pulang dari sekolah

Hospital/Bilik Rawatan ICU
-Adit telah dirawat di hospital setelah ditimpa kemalangan ketika pulang dari sekolah
- Kaki Adit patah dan kehilangan banyak darah
- Adit menerima rawatan selama lebih kurang dua bulan di hospital

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat Orang Asli
-berketurunan Jahut yang tinggal di Kampung Bakai
-terdiri daripada 25 buah keluarga dan masih mengekalkan kehidupan yang primitif serta
cara hidup tradisi, budaya dan adat resam yang masih menjadi landasan dalam setiap rutin
harian mereka

Masyarakat yang bergantung pada hasil hutan
-Pak Katan dan Adit serta kaum Asli yang lain memungut hasil hutan untuk kegunaan
sendiri dan selebihnya dijual kepada seorang taukeh Cina dari pekan yang datang ke perkampungan mereka pada setiap hujung minggu
-Hasil jualan itu digunakan untuk membeli barang-barang keperluan lain seperti beras dan sardin
-Mereka juga bergantung pada hutan untuk mendapatkan daging binatang seperti rusa dan kijang

Masyarakat yang percaya kepada bomoh dan pawang
-Masyarakat Orang Asli percaya sesuatu musibah yang berlaku di perkampungan mereka
adalah disebabkan roh jahat sedang mengamuk
-roh itu perlu dipujuk dan ditenteramkan dengan jampi serapah
-gerakan mencari Adit itu disertai oleh seorang pawang, iaitu Pawang Putat
-penyakit yang menimpa mereka berpunca daripada jin dan roh jahat

Masyarakat yang menyedari kepentingan ilmu demi masa depan yang lebih terjamin
-Adit mempunyai kesedaran tentang kepentingan ilmu dalam kdehidupan demi masa depan
yang lebih terjamin
-Adit mahu bersekolah kerana mahu mengubah nasib keluarganya sekali gus membawa kemajuan kepada masyarakat Orang Asli

Masyarakat yang saling membantu/bekerjasama
-Masyarakat Orang Asli saling membantu sekiranya berlaku sesuatu musibah
- para pekerja balak bekerjasama dengan penduduk Orang Asli untuk mencari Adit yang hilang ketika pulang dari sekolah


NOVEL SUKAR MEMBAWA TUAH
PLOT PENCERITAAN

PERMULAAN/EKSPOSISI
- memperkenalkan watak Adit dan Pak Katan
- Adit mengikut bapanya, Pak Katan masuk ke dalam hutan untuk memungut rotan, gaharu dan damar.
- Sebelum itu, Adit terlebih dahulu melihat belat yang dipasang oleh ayahnya di sungai.
- Itulah sumber rezeki mereka setiap hari.

PERKEMBANGAN
- Adit menyatakan hasratnya untuk bersekolah di pekan kepada ayahnya.
- Hasratnya adalah untuk mengubah nasib keluarganya.
- Walaupun pada mulanya Pak Katan seolah-olah menentang, namun setelah melihat kesungguhan Adit mahu bersekolah, Pak Katan tetap berusaha untuk menguruskan pendaftaran persekolahan anaknya.
- Malangnya, Adit terpaksa menangguhkan hasratnya untuk bersekolah kerana asrama sudah sesak dengan penghuni.
- Ah Tong sedia membantu jika Adit sanggup pergi ke sekolah dengan cara berulang-alik dengan jipnya dan lori balak.

PUNCAK/KLIMAKS
- Adit masih tidak pulang ke rumah meskipun hari hampir senja. Mak Tawi dan Pak Katan sangat risau dan cemas.
- Pak Katan meminta bantuan Tok Batin Ahboi dan penduduk kampung untuk mencari Adit.
- Adit dijumpai dalam keadaan cedera parah akibat jip Ah Tong yang ditumpanginya terbabas ke dalam gaung.
- Kaki Adit patah dan kemalangan tersebut turut meragut nyawa Ah Tong.

PELERAIAN
- Adit telah menerima rawatan di hospital selama dua bulan. Walaupun kakinya tempang, namun hal ini tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pelajaran.
- Kesungguhan Adit ke sekolah dalam serba kepayahan itu menarik perhatian pihak sekolah dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.
- Adit ditawarkan tempat di asrama dengan menumpang katil Akeh.
- Adit lebih fokus terhadap pelajaran hingga mendapat tempat pertama di dalam kelas.

Plot ditamatkan dengan kisah Adit yang sudah melangkah ke sekolah menengah. Dia berjaya memperoleh 3A dalam UPSR. Walaupun ditawarkan tempat di sekolah berasrama penuh, Adit menolak tawaran tersebut kerana memikirkan keadaan ibu bapanya.



NOVEL SUKAR MEMBAWA TUAH

GAYA BAHASA


1. Simile
- Unsur simile iaitu membandingkan dua objek yang mempunyai nilai dan sifat yang sama dengan menggunakan kata bandingan jelas kelihatan dalam novel tersebut. Contohnya,
- Tapak kaki Adit seperti lebih keras daripada tapak kasut.
- Kehidupan mereka terlalu miskin, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
- Hutan bagi mereka ibarat taman permainan.

2. Hiperbola
- Pengarang juga membesar-besarkan sesuatu perkara berbanding dengan keadaan sebenar dan hal ini jelas menunjukkan penggunaan unsur hiperbola. Unsur tersebut dapat dilihat melalui ayat berikut:
- Kulit tubuhnya yang hitam berkilat……

3. Personifikasi
- Unsur personifikasi juga diselitkan dalam novel tersebut. Contohnya,
- Angin malam berhembus perlahan, anak-anak ikan kelihatan berkejaran di dalam air.
- Bunyi warga rimba juga semakin riuh menjerit menyambut permulaan hari itu.
- Deruan air sungan menerjah telinganya.

4. Metafora
- Pengarang juga menggunakan unsur metafora iaitu membuat perbandingan secara langsung atau terus. Hal ini dapat dibuktikan melalui contoh berikut:
- Perut hutan yang dilitupi kanopi pokok-pokok balak yang menyimpan banyak khazanah hutan yang tidak ternilai.
- Mereka tidak mahu keluar dari kepompong tradisi yang diwarisi walaupun sedar bahawa kehidupan mereka semakin terancam.

5. Sinkope
- Unsur sinkope yang juga dikenali sebagai singkatan perkataan memang lazim digunakan dalam novel ini. Contohnya
- “Ah, jangan bimbang, sekejap lagi sampai la tu!” pukuk Pak Katan.
- “Eh, kenapa belum pulang, kan sekarang dah malam ni? ” nada suara Tok Batin juga
mulai cemas.

6. Peribahasa
-Pengarang juga menyelitkan peribahasa dalam novel tersebut. Contohnya,
-“Bapak tidak mahu kamu muram begini, bak kata pepatah, kalau ada kemahuan di situ ada jalannya.”